Pencerobohan terbesar China ke atas Taiwan

Taipei mendakwa Beijing mengerahkan kira-kira 71 pesawat pejuang pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
Taipei mendakwa Beijing mengerahkan kira-kira 71 pesawat pejuang pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

TAIPEI - Taiwan pada Isnin mendakwa Beijing melancarkan kempen 'pencerobohan' harian terbesar selepas ia mengerahkan kira-kira 71 pesawat perang ketika latihan ketenteraan di sekitar negara pulau itu pada akhir minggu lalu.

Data Kementerian Pertahanan di Taipei menunjukkan kira-kira 60 jet pejuang termasuk enam pesawat Su-30 menyertai latihan tersebut.

"Sebanyak 47 daripadanya turut merentasi Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) yang merupakan pencerobohan harian ketiga paling tinggi pernah direkodkan," ujarnya.

Salah satu taktik digunakan Beijing sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada Taipei ialah dengan menceroboh ADIZ selepas hubungan kedua-dua negara semakin merosot.

Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dalam satu kenyataan memaklumkan 'latihan serangan' itu dilakukan sebagai respons terhadap provokasi dan 'pakatan sulit' antara Amerika Syarikat (AS) dan Taipei yang mahu memburukkan lagi ketegangan di rantau tersebut.

Latihan ketenteraan berskala besar itu diadakan dua hari selepas Presiden AS, Joe Biden menandatangani Akta Kebenaran Pertahanan Kebangsaan yang turut memperuntukkan AS$10 bilion (RM44 bilion) untuk bantuan keselamatan dan pemerolehan senjata segera kepada Taiwan.

Sepanjang tahun ini, terdapat lebih 1,700 insiden pencerobohan melintasi 'garisan median' yang memisahkan kedua-dua negara berbanding 969 pada 2021 dan 146 pada 2020. - AFP

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!