Tangani isu agensi jual penginapan tak berlesen
SHAH ALAM - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa agar kerajaan menyelesaikan ancaman kepada industri perhotelan dengan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap agensi pelancongan dalam talian yang menjual penginapan tidak berdaftar dan berlesen.
Presidennya, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, tindakan itu perlu diambil terhadap pihak yang mengaburi pengguna atau pelancong.
Selain itu katanya, satu rang undang-undang dalam mengawal selia penginapan kediaman jangka masa pendek juga harus diperkenalkan.
"Yang jelas (ia) telah gagal dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilapor berkata, tiga tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali disahkan tidak berlesen.
Kor Ming mengesahkan bahawa pengendali itu dibenarkan membuka ladang organik, tetapi tidak mengemukakan permohonan untuk mendirikan tapak perkhemahan.
Sr Ganesh menambah, dalam suasana penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), adalah amat mudah agensi penguatkuasaan untuk mencari, memantau, membimbing, menyediakan khidmat nasihat serta mengambil tindakan tegas terhadap penyedia penginapan yang gagal berdaftar atau berlesen.
"Ia tidak harus menjadi alasan oleh agensi-agensi terlibat dengan hanya menunggu aduan atau sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku sebelum mengambil tindakan.
"Kami ingin menyeru kepada pengguna dan pelancong untuk sentiasa memilih tempat penginapan yang berdaftar, berlesen dan selamat didiami," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!