Pembubaran MASTAF belum sempurna

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Ibrahim)
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Ibrahim)
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) secara teknikalnya masih ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Menurut Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, proses pembubaran MASTAF 'belum sempurna', malah beliau masih belum menerima sebarang pemakluman mengenai perkara itu.

Ibrahim berkata, PJS menyambut baik kenyataan Presiden MASTAF, Datuk Suhaili Abdul Rahman untuk membubarkan badan induk itu bagi menyelesaikan kemelut arena sepak takraw negara.

“Tindakan berjiwa besar ini sekali gus memberi laluan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di bawah kepimpinan Datuk Mohd Sumali Reduan untuk menyertai semula badan induk antarabangsa.

Kita telah berhubung dengan Setiausaha Agung MASTAF, Dr Noor Azam Samsudin berkenaan perkara ini dan akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat.

“Ini adalah bagi memastikan proses pembubaran badan induk tersebut dilakukan secara teratur seperti mana yang ditetapkan dalam perlembagaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

ISTAF sebelum ini diminta tidak mencampuri sebarang masalah yang berkaitan dengan arena sepak takraw tempatan sehingga melebihi had bidang badan induk tersebut.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran sebagai reaksi tindakan Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader yang mengutuskan surat kepada Dr Noor Azam.

Artikel Berkaitan:

Dalam surat berkenaan, Abdul Halim meminta MASTAF mengambil tindakan segera untuk mengadakan mesyuarat agung membubarkan badan induk itu mengikut lunas perlembagaan.

Ibrahim berkata, PJS akan mengeluarkan notis makluman mengenai pembubaran kepada MASTAF.

“Setakat ini PJS masih belum mengeluarkan sebarang notis kepada MASTAF. Sebenarnya sebelum mengeluarkan notis itu, beberapa perkara perlu dilakukan badan induk tersebut. Notis itu sebagai formaliti untuk mengesahkan pembubaran MASTAF yang diumumkan sebelum ini,” jelasnya.

Mengenai status pasukan negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan bawah naungan ISTAF, Ibrahim berkata, perkara itu bergantung kepada badan induk tersebut.

“Kebenaran untuk pasukan negara bertanding dalam kejuaraan bergantung kepada ISTAF selepas pembubaran MASTAF. Ini merupakan perkara teknikal yang bersifat budi bicara ISTAF,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!