Tiada bayaran ansuran premium tanah di Perak

Saarani ketika menjawab soalan tambahan Boon Piow pada Sidang DUN Perak pada Selasa.
Saarani ketika menjawab soalan tambahan Boon Piow pada Sidang DUN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak berhasrat untuk melaksanakan kemudahan bayaran premium tanah secara ansuran biarpun terdapat permintaan terhadap perkara tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan pembayaran premium tanah secara ansuran akan mempengaruhi sasaran pendapatan kerajaan negeri melalui perolehan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Menurutnya, pihak PTG negeri mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi kutipan hasil untuk kerajaan negeri.

"Saya minta maaf, kita tak dapat menyempurnakan permintaan ini kerana ia terlibat dengan audit dan juga sasaran untuk KPI bagi pendapatan yang dijanjikan oleh PTG negeri.

"Mereka mempunyai KPI tertentu untuk menentukan berapakah pungutan setiap tahun. Jadi kalau kita membenarkan bayaran secara ansuran, sukar bagi pihak PTG membuat ketetapan KPI bagi pihak mereka," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (PH-Bercham) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Menjawab soalan lisan yang dikemukakan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) mengenai punca kelewatan pemprosesan permohonan dan pemberian hak milik tanah, Saarani berkata, terdapat beberapa punca berlakunya perkara tersebut.

Menurutnya, antaranya permohonan tidak lengkap diterima serta kelewatan mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan sistem e-Tanah merupakan satu mekanisme transformasi kepada urusan pemilikan dan pendaftaran hak milik untuk disempurnakan dengan lebih cepat.

"Malahan kerajaan negeri juga telah memutuskan Dasar Penyelesaian Tunggakan Permohonan Tanah Tahun 2018 ke Bawah. Perkara ini selaras dengan mengeluarkan Surat Arahan PTG Bil 6/2021 yang menetapkan tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh pentadbir tanah bagi fail-fail permohonan tanah yang diterima bagi tahun 2018 dan ke bawah," katanya.

Jelas Saarani, perkara itu turut menjadi KPI setiap daerah dan dipantau melalui mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!