Polis rakam keterangan keluarga remaja hilang
SEPANG - Polis telah merakam keterangan empat ahli keluarga kepada seorang remaja perempuan selepas dia dilaporkan hilang dari kawasan inap desa di Taman Salak Maju, di sini, sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah merakam keterangan abang, kakak, ibu dan ayah kepada remaja perempuan tersebut.
"Kesemua dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Setakat ini, remaja perempuan itu masih belum dijumpai," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam laporan Sinar Harian pada Isnin, pihak polis mengesahkan telah menerima laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi.
Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan inap desa itu mendapati Salsabila Putri keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang membawa remaja itu keluar dari kawasan perumahan tersebut.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!