'Tawar penerbangan tambahan, tambang murah musim perayaan'
SHAH ALAM - Penambahan kapasiti dan jumlah penerbangan pada waktu puncak merupakan langkah berkesan bagi mengatasi kesesakan serta berupaya mengurangkan kadar tambang, kata bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Katanya, langkah itu dinanti-nantikan oleh rakyat khususnya pengguna pengangkutan udara yang ingin pulang ke kampung halaman meraikan hari gembira bersama keluarga dan insan tersayang.
"Beberapa bulan lalu, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pernah bertemu dan berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia untuk menambah penerbangan pada waktu tengah malam dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) disarankan melanjutkan pengoperasian. Perkara ini telah pun dipersetujui secara dasarnya.
"Tak lama lagi, kita akan menyambut Tahun Baru Cina dan selepas itu, Hari Raya Aidilfitri. Kita mengharapkan agar pihak Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan sebuah syarikat penerbangan tempatan yang baharu, MyAirline yang mula beroperasi pada awal Disember ini jika mampu, dapat merealisasikan cadangan tersebut serta menawarkan kadar tambang murah kepada para penumpang semasa musim perayaan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Ka Siong dalam masa sama turut melahirkan keyakinan perkara berkenaan dapat dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan adanya Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) baharu.
Menurutnya, KLATCC baharu ini berupaya meningkatkan pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan secara serentak berbanding hanya 84 pergerakan sejam menggunakan dua landasan sebelum ini.
Pada Mei 2022, ketika sempadan negara baru dibuka, terdapat banyak syarikat penerbangan menghadapi kesukaran untuk menambah jumlah penerbangan kerana banyak pesawat mereka terpaksa direhatkan semasa pelaksanaan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.
"Oleh itu, mereka perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang agak lama sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan orang ramai.
"Akan tetapi, pada waktu ini, lebih banyak pesawat sudah pun siap melalui proses MRO dan sudah tentu syarikat penerbangan mampu melakukan penerbangan pada waktu tengah malam dengan kadar tambang yang lebih rendah," ujarnya.
Ka Siong juga yakin perkara itu akan diusahakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Semoga syarikat-syarikat penerbangan dapat menawarkan penerbangan tambahan pada waktu tengah malam dengan harga yang rendah khususnya pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!