Penghuni PPR diusir kini dibenar pulang

Penguatkuasa melakukan proses menyita rumah tertunggak bayaran sewanya di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, semalam.
Penguatkuasa melakukan proses menyita rumah tertunggak bayaran sewanya di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua penghuni 11 unit Flat Tasek 64 di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam yang diarahkan keluar sejak semalam sudah dibenarkan memasuki kembali kediaman mereka.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut dilakukan susulan perbincangan bersama kesemua penghuni berkenaan berjaya diadakan.

“Kes PPR Seri Alam berlaku hari ini adalah melibatkan sebanyak 11 unit rumah yang mana kesemua penghuninya mempunyai tunggakan sewaan yang besar. Selepas tindakan dilakukan enam penyewa telah selesaikan bayaran.

“Manakala lima lagi penyewa telah membuat akuan aku janji bagaimana cara mereka akan menyelesaikan tunggakan sewa mereka. Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan membuka semula rumah bagi rumah-rumah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Mengenai jumlah sewa tertunggak oleh penghuni berkenaan Dzulkefly berkata, jumlah melibatkan semua unit rumah di PPR berkenaan adalah dianggarkan bernilai sebanyak RM300,000.

“Jumlah tunggakan untuk 11 unit rumah PPR Seri Alam ini adalah antara RM1,100 hingga RM9,300 sedangkan sewa bulanan hanyalah RM124 sahaja. Ini bermakna mereka tinggal di sana satu hingga enam tahun tanpa membayar sewa.

“Statistik PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) menunjukkan hanya ada antara 40 hingga 45 peratus sahaja penyewa yang mahu membayar sewa. Dalam masa sama kerajaan perlu menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap, operasi penguatkuasaan dilaksanakan sebelum ini dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada pihak berkenaan untuk mematuhi pembayaran bulanan seperti tertakluk dalam perjanjian sewaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!