Piala Asia jambatan ke Piala Dunia

Safirul - Foto Agensi
Safirul - Foto Agensi
A
A
A

PASUKAN bola sepak Malaysia perlu menjadikan Piala Asia sebagai tanda aras dan jambatan dalam pengembaraan menuju ke saingan Piala Dunia pada edisi mendatang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, skuad Harimau Malaya perlu kekal bersaing di pentas Asia sebelum boleh berimpian untuk beraksi dalam kancah kejohanan berprestij itu.

"Malaysia perlu konsisten beraksi di Piala Asia terlebih dahulu. Jangan tercicir walaupun satu edisi pun. Fokus satu demi satu. Bermula di peringkat kumpulan melangkah ke pusingan 16.

"Disusuli berada dalam lapan terbaik pada edisi berikutnya dan kemudian sasaran separuh akhir. Apabila sudah berada dalam kelompok lapan atau empat terbaik di Asia, peluang ke Piala Dunia nampak cerah," katanya kepada Sukan Sinar.

Beliau pada masa sama berharap program pembangunan pemain muda tidak dipandang mudah sebaliknya terus diperkasa kerana ia menjadi satu kemestian di negara maju dalam bola sepak seperti Jepun dan Korea Selatan.

Jangan bercakap pasal Piala Dunia, selagi kita tidak memberi tumpuan kepada program pembangunan di peringkat akar umbi.

"Jepun dan Korea Selatan pada awalnya tidak sasar untuk ke Piala Dunia tetapi fokus kepada program pembangunan. Bermula dari situ muncul pemain berbakat dan berkualiti.

"Apabila kelompok pemain itu sudah ramai, mereka berkelana bermain di Eropah dan dalam saingan tempatan. Dari situ bermula sasaran mereka untuk ke Piala Dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Safirul berkata, program pembangunan perlu dibuat secara menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) dan kelab-kelab.

"Pelaburan besar perlu dibuat kepada program pembangunan bukan kepada para pemain yang sudah berusia," katanya.

Tambah beliau, perancang perlu dibuat untuk jangka panjang bukan fokus kepada skuad projek yang tertumpu kepada kelompok kecil sehingga boleh membuatkan pihak berkaitan terlepas pandang kepada pemain berpotensi dan berbakat.

Katanya, pemain seperti Arif Aiman Hanafi misalnya disasarkan untuk berada dalam skuad Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) di bawah bimbingan Lim Teong Kim, tetapi namanya tercicir kerana terlepas pandang.

"Mungkin pada masa itu belum matang, tetapi dia seorang pemain berbakat dan berpotensi. Pemilihan juga perlu melihat kepada pemain yang mempunyai IQ yang tinggi dalam bola sepak," katanya.

Justeru menurutnya, pembentukan program pembangunan perlu diberi kepada pihak yang pakar dan berkemahiran selain turut melibatkan pengarah teknikal yang memantau dan bekerjasama rapat dengan jurulatih.

"Pengarah teknikal melihat dari sudut yang lebih luas memantau pemain berbakat dan berpotensi untuk dilatih oleh pengendali berpengalaman dan dibantu oleh pakar-pakar berkaitan.

"Kelompok pemain muda berbakat yang ramai memberi banyak pilihan kepada jurulatih skuad remaja dan senior untuk diserap ke dalam pasukan selain beri mereka pendedahan di peringkat tertinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!