Gubal peraturan baharu kebersihan makanan
ISU kebersihan dan keselamatan makanan bukannya perkara yang main-main.
Jika aspek kebersihan diabaikan, maka ia boleh membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan termasuk keracunan dan penyakit bawaan makanan.
Kes keracunan makanan ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia berpotensi mengancam nyawa.
Disebabkan itulah satu mekanisme baharu termasuk penalti lebih berat berbanding denda sedia ada perlu diwujudkan bagi 'memaksa' pengusaha makanan supaya lebih berintegriti dan bersikap bertanggungjawab.
Ini kerana, terdapat segelintir pengusaha makanan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 yang dibentuk bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya (kesihatan) dan penipuan (penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan).
Serbuan demi serbuan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap premis makanan kotor membuktikan pemilik dan pengendali makanan mengabaikan jaminan keselamatan makanan.
Antara kes terbaharu pengabaian aspek kebersihan ialah insiden tikus 'menjamah' ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran (telah dibatalkan lesen) di Pandan Indah, Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.
Justeru itu, sudah tiba masanya bagi KKM untuk menggubal undang-undang baharu berkaitan kebersihan makanan memandangkan tindakan kompaun serta tutup premis sementara dilihat tidak memadai kerana ada premis serta restoran didapati melakukan kesalahan sama berulang kali.
Selain menggubal undang-undang, kerajaan juga perlu mencipta satu aplikasi yang membolehkan pengguna seluruh negara membuat aduan berhubung kebersihan di premis menjual makanan.
Melalui aplikasi itu, pengguna boleh memuat naik gambar serta aduan agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan lanjut terhadap premis makanan yang mengeksploitasi kepercayaan pelanggan demi meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Apa pun, orang ramai perlu mempunyai sikap sensitif terhadap kebersihan apabila makan di warung, premis dan restoran serta tidak boleh lagi bersikap tidak kisah.
Gunakan kuasa pengguna dengan hanya memilih premis yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu selera di luar rumah dan boikot pengusaha makanan yang tidak mengutamakan kebersihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!