Anak kampung hasilkan parang Lipis, kini ke pasaran luar negara

Muhammad Khairi Adham teliti ketika menempa dan menghasilkan parang di bengkel miliknya di Kampung Selendang dekat Padang Tengku, Lipis.
Muhammad Khairi Adham teliti ketika menempa dan menghasilkan parang di bengkel miliknya di Kampung Selendang dekat Padang Tengku, Lipis.
A
A
A

LIPIS - Tidak siapa menjangka, bermula daripada risau dimarahi ayah akibat kehilangan parang menyebabkan seorang anak kampung kini memiliki bengkel dan jenama parang sendiri.

Muhammad Khairi Adham bersama parang-parang yang dihasilkan.
Muhammad Khairi Adham bersama parang-parang yang dihasilkan.

Muhammad Khairi Adham Abdul Muin Long, 26, dari Kampung Selendang dekat Padang Tengku di sini kini boleh tersenyum kerana sentuhannya turut mendapat perhatian penggemar luar negara.

Kini produk parang yang dikenali dengan jenama Parang Lipis kian mendapat permintaan termasuk pelanggan dari Itali, Portugal, Sepanyol selain Brunei dan Singapura.

Parang Lipis membawa nama Lipis ke peringkat antarabangsa.
Parang Lipis membawa nama Lipis ke peringkat antarabangsa.

Graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Selangor (Unisel) ini mula mendapat kemahiran membuat parang selepas mengembara ke 12 negeri, dari Pahang hingga ke Perlis dengan menunggang motosikal Honda Wave pada 2018.

Beliau berjaya menguasai kemahiran menghasilkan parang selepas berguru dengan 60 tukang berpengalaman sebelum membuka bengkelnya sendiri pada 2019.

"Saya memang tidak sangka sampai ke tahap ini dan seterusnya menjadi sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Khairi Adham (kiri) melayan pelanggan yang sanggup datang dari Perlis untuk mendapatkan parang yang dihasilkan.
Muhammad Khairi Adham (kiri) melayan pelanggan yang sanggup datang dari Perlis untuk mendapatkan parang yang dihasilkan.

"Sebelum saya benar-benar serius dalam bidang ini, saya pernah bekerja di Arab Saudi dengan sebuah agensi pelancongan selepas tamat pengajian.

"Pandemik Covid-19 menyebabkan saya kembali ke kampung pada 2020 dan mengambil keputusan meneruskan pembuatan parang sepenuh masa menggunakan modal permulaan RM5,000 yang dipinjam dengan ibu," katanya yang kini memiliki enam pekerja.

Antara parang duku chandong yang dihasilkan.
Antara parang duku chandong yang dihasilkan.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, terdapat beberapa jenis parang yang dihasilkan iaitu bapong, duku chandong, selendang dan tempoyang dengan saiz ditawarkan antara 8 hingga 14 inci manakala 16 inci bergantung tempahan pelanggan.

"Satu hari kami boleh menyiapkan berbelas bilah dan seminggu hingga 70 bilah. Sebulan 400 bilah maksimum yang dijual dalam lingkungan harga RM175 hingga RM265 untuk saiz 8 hingga 14 inci.

Parang Lipis dijual dalam lingkungan harga RM175 hingga RM265 untuk saiz 8 hingga 14 inci.
Parang Lipis dijual dalam lingkungan harga RM175 hingga RM265 untuk saiz 8 hingga 14 inci.

"Kami juga menawarkan tempoh jaminan selama lima bulan dan setakat ini ramai pelanggan berpuas hati dengan kualiti yang kami hasilkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Khairi Adham gembira dapat membuka bengkel tersebut kerana boleh membantu ramai rakannya yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik selain dapat menjaga kedua ibu bapanya di kampung.

Muhammad Khairi Adham turut mendapat jemputan untuk membuat demonstrasi pembuatan parang.
Muhammad Khairi Adham turut mendapat jemputan untuk membuat demonstrasi pembuatan parang.

"Selain itu, kami juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi pembuatan parang dalam beberapa program," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, beliau memberitahu, sebuah kilang akan dibuka tidak lama lagi berhampiran rumahnya selain mengeluarkan parang tulang dan pisau lapah tahun hadapan.

"Selagi ada hutan dan pokok di satu-satu negara, saya yakin ada potensi parang buatan kami boleh dipasarkan di negara tersebut.

"Kami berhajat alat tradisi masyarakat orang Melayu ini diterima seluruh dunia dan dapat menaikkan nama Lipis di persada antarabangsa," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!