Dipukul hingga mati kerana video 'tak senonoh' anak tular
GANDHINAGAR - Gara-gara memprotes video 'tidak senonoh' memaparkan anak perempuannya di media sosial, seorang bapa maut dipukul tujuh individu dalam kejadian menggemparkan di negeri barat Gujarat, India pada akhir minggu lalu.
Susulan insiden itu, kesemua suspek yang memukul anggota Pasukan Keselamatan Sempadan, Melaji Vaghela hingga mangsa meninggal dunia telah ditahan pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati penyerang berkenaan adalah ahli keluarga remaja lelaki yang bertanggungjawab memuat naik klip tersebut.
Menurut laporan yang dibuat isteri mangsa, Manjula, video itu kemudiannya menjadi tular.
"Isteri dan anak lelakinya turut cedera dalam kejadian itu yang berlaku di daerah Kheda pada malam Sabtu lalu," ujar jurucakap polis.
Insiden kekecohan itu tercetus selepas Vaghela bersama isteri dan dua anak lelaki serta cucu mereka bertindak pergi ke rumah remaja lelaki berkenaan.
Beberapa laporan media tempatan mendakwa bapa mangsa berang kerana klip tersebut berunsur lucah.
Perbincangan mereka akhirnya bertukar menjadi satu pergaduhan selepas saudara remaja lelaki itu menyerang Vaghela dan ahli keluarganya dengan kayu serta objek tajam.
Difahamkan, polis telah memfailkan beberapa tuduhan termasuk membunuh terhadap ketujuh-tujuh suspek. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!