Kerajaan tubuh sekretariat tetap selaraskan manifesto

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menubuhkan satu sekretariat tetap bagi melakukan penyelarasan manifesto yang ditawarkan parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat itu akan berperanan menggabungkan semua manifesto agar memperoleh titik persamaan.

Menurut beliau, sekretariat berkenaan akan mencari jalan lain sekiranya terdapat perbezaan agar jurang dapat dirapatkan demi kesejahteraan rakyat.

"Parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan mempunyai manifesto parti masing-masing. Telah dipersetujui oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya manifesto berbeza dicari persamaan. Ertinya titik persamaan harus dicari.

"Sekarang ini kurang-kurang ada lima parti dan lain-lain parti dan ahli Parlimen bebas. Jadi, apakah kesamaan? Titik persamaannya iaitu kos sara hidup. Semua parti mempunyai manifesto yang begitu dan itu menjadi keutamaan.

"Di dalam perkiraan saya, banyak akujanji dalam manifesto apabila terdapat sekurang- kurangnya 20 perkara yang mempunyai kesamaan tiap-tiap parti. Cuma ayat berbeza tetapi mempunyai matlamat sama.

"Jadi, itulah sebabnya sebuah sekretariat tetap diwujudkan untuk melakukan penyelarasan antara parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara yang disiarkan secara langsung dalam talian pada Selasa.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu turut percaya dengan langkah itu dapat menyuburkan lagi keserasian dalam kalangan parti politik yang berada dalam kerajaan sekarang dengan tempoh lama.

Artikel Berkaitan:

"Jika kerjasama ini boleh dibuat dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, insya-ALLAH dengan azam sebegitu, saya yakin apabila keserasian dapat tumbuh dengan subur, maka yang dapat manfaat adalah rakyat.

"Bukan soal politiking antara parti-parti yang akhirnya memberi mudarat kepada rakyat dan memberi kesengsaraan kepada rakyat.

"Yang kami mahukan dan dambakan adalah soal kesejahteraan rakyat dengan mewujudkan kestabilan politik di negara kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!