Pan-gon tidak salahkan pemain

Pan-gon
Pan-gon
A
A
A

PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon tidak menyalahkan pemainnya di sebalik kekalahan 0-3 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Selasa.

Menurutnya, pemain sudah memberikan yang termampu selain Vietnam memperagakan aksi lebih baik dalam perlawanan itu.

"Tahniah kepada Vietnam. Mereka layak menang dan pasukan mereka sangat solid. Saya minta maaf kepada penyokong Malaysia kerana kami tidak dapat berikan kemenangan. Namun, pemain telah cuba yang terbaik dan mengikut segala arahan barisan kejurulatihan dan mampu mengawal perlawanan dengan baik.

"Kami juga ada peluang untuk menang malam ini, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku dan saya perlu kembali dan lihat mengenai situasi ini. Saya tidak ada masalah mengenai pemain dan mungkin jika saya buat silap, kami akan semak untuk membetulkan sesuatu sebelum perlawanan menentang Singapura," katanya.

Dalam perlawanan itu, Nguyen Tien Linh, Que Ngoc Hai dan Nguyen Hoang Duc masing-masing meledak satu gol untuk memastikan kemenangan tuan rumah.

Kemenangan itu juga menyaksikan Vietnam mendahului Kumpulan B manakala Malaysia berada di kedudukan kedua dengan baki satu perlawanan untuk skuad negara.

Pan-gon juga menegaskan pasukannya akan bangkit melakar kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Singapura yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

"Kami tidak mempunyai masa untuk berlengah lagi. Kami akan cepat pulih dan merancang dengan baik untuk perlawanan dengan Singapura," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pan-gon menjelaskan dia tidak mendapat gambaran jelas mengenai insiden penalti kedua Vietnam dan juga layangan kad merah kepada pertahanan negara, Azam Azmi Murad.

"Sukar untuk memberikan komen kerana saya tidak dapat melihat gambaran yang jelas mengenai situasi itu. Saya fikir kami memerlukan analisis penuh untuk melihat situasi berkenaan dan selepas itu kami boleh katakan sesuatu.

"Tapi kami perlu belajar sesuatu mengenai situasi itu. Kami memiliki kelebihan besar apabila beraksi lebih seorang pemain dan kami patut menggunakan kelebihan itu," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!