Nano Retailers bantu suri rumah, B40 jana pendapatan

Salahuddin (tengah) melawat sebuah booth selepas majlis temu rapat DPIM bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di Johor Bahru, pada malam Selasa.
Salahuddin (tengah) melawat sebuah booth selepas majlis temu rapat DPIM bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di Johor Bahru, pada malam Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan sedang mengkaji inisiatif 'Nano Retailers' bertujuan membantu masyarakat B40 khususnya golongan suri rumah dalam meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif berkenaan akan menjadikan suri rumah sebagai peniaga runcit kecil-kecilan yang menjual barangan keperluan harian asas penduduk negara ini.

"Antara barangan asas tersebut seperti beras, gula, tepung, susu, minyak masak, beras dan barangan kering lain. Projek perintis 'Nano Retailers' akan dimulakan terlebih dahulu dengan menyasarkan golongan sasar sama ada peserta program mahupun pengguna di setiap negeri.

"'Nano Retailers', asalnya inisiatif ini bernama 'Rezeki Suri', matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada suri rumah sepenuh masa meniaga 11 barangan keperluan asas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di sini, pada malam Selasa.

Jelasnya, menerusi program itu kementerianya akan membantu mereka mendapatkan bekalan secara terus daripada pengilang untuk dijual kepada pengguna dan langkah itu akan dapat menyelamatkan mereka daripada beberapa lapisan orang tengah.

"Di samping dapat memberikan mereka pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar iaitu masyarakat B40 juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga murah. Ini merupakan salah satu program yang saya mahu jayakan dalam tempoh 100 hari memasuki pejabat," katanya.

Menurutnya, rancangan tersebut telah dibawa ke peringkat kementerian sebagai satu langkah yang sangat praktikal dalam menangani isu kenaikan harga keperluan asas dan juga kesukaran mendapatkan bekalannya.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan cuba buat 'pilot project' di beberapa lokasi, negeri dan pantau, jika dapat sambutan menggalakkan ia akan diluaskan di peringkat kebangsaan, ini penting untuk perkasa suri rumah," ujar beliau.

Kata Salahuddin lagi, konsep sama telah dilakukan di Bangladesh yang mana terbukti berjaya memperkasa usahawan kecil terdiri daripada golongan miskin wanita dalam menguatkan ekonomi keluarga mereka.

"Golongan suri rumah dipilih menjayakan inisiatif ini atas data dan statistik yang terbukti menunjukkan bahawa mereka antara individu yang berdisiplin dalam membayar hutang, jadi mudah untuk mereka dapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!