Dua jurujual ditahan bersama RM11.5 juta syabu
KUALA LUMPUR - Dua jurujual disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 320 kilogram (kg) syabu dalam serbuan Op Lambskin di sebuah rumah teres di sekitar Setiawangsa, di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, rampasan berkenaan merupakan jumlah terbesar di ibu negara sepanjang tahun ini.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati dua suspek lelaki berkenaan berperanan sebagai penjaga premis yang dijadikan stor simpanan oleh pihak sindiket.
"Polis menemui 13 kampit guni di ruang tamu berisi 310 pek bungkusan teh cina berwarna hijau dan keemasan disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 320 kg bernilai anggaran RM11.5 juta.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan namun kita percaya dadah berkenaan datang dari Pantai Timur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan ada juga kemungkinan untuk pasaran luar Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Yahaya berkata, sindiket berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu berdasarkan rekod sewaan rumah berkenaan yang disewakan atas nama salah seorang suspek terbabit sejak September lalu.
"Rumah berkenaan disewa dengan harga dianggarkan RM1,000 lebih namun jumlah sebenar masih dalam siasatan. Polis juga menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios dianggarkan bernilai RM20,800," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi sindiket berkenaan dan mengesan saki baki anggota kumpulan yang masih bebas.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual kereta mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah manakala ujian urin terhadapnya didapati positif.
"Suspek kedua berusia 34 tahun bekerja sebagai jurujual dalam talian mempunyai satu rekod dadah dan ujian urin adalah negatif.
"Kedua-dua lelaki tempatan berkenaan direman tujuh hari bermula 25 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!