Hasil laut banyak punca nelayan asing ceroboh perairan negara

Abd Razak (tengah) bersama pegawainya ketika memantau proses pelupusan bot nelayan asing yang dilucut hak.
Abd Razak (tengah) bersama pegawainya ketika memantau proses pelupusan bot nelayan asing yang dilucut hak.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Hasil laut yang banyak menyebabkan ramai nelayan asing terutamanya dari Indonesia kerap masuk ke perairan negara ini untuk mencari rezeki.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang telah membuat rampasan bot dan peralatan menangkap ikan bernilai keseluruhan RM192,000.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak lima buah bot Indonesia bernilai RM150,000 telah dirampas selepas didapati memasuki perairan negara tanpa kebenaran.

Sebanyak enam buah bot dimusnahkan dalam proses melucut hak oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang pada Rabu.
Sebanyak enam buah bot dimusnahkan dalam proses melucut hak oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang pada Rabu.

Kata beliau, selain bot nelayan asing, sebuah bot nelayan tempatan bernilai RM12,000 turut dirampas dalam tempoh sama.

"Selain bot, kita juga telah melupuskan 492 set bubu naga dan dua unit pukat lohong. Nilai keseluruhan yang dilupuskan adalah RM192,000. Kesemua ini telah mendapat lucut hak oleh mahkamah sebelum ia dilupuskan dengan kaedah hancur musnah.

"Kes pelupusan lucut hak ini melibatkan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 seperti tiada permit menangkap ikan di perairan Malaysia terutama bot nelayang asing Indonesia.

"Bagi bubu naga dan pukat lohong pula, ia melibatkan kesalahan penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan, manakala bagi bot tempatan, ia di bawah kesalahan tidak memiliki nombor pendaftaran," katanya pada sidang akhbar di Limbongan Batu Maung di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sepanjang tahun ini sehingga November, sebanyak 4,379 pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan Maritim Malaysia Pulau Pinang.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 76 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan atas pelbagai akta dilakukan termasuk 10 kes pengusiran melibatkan bot nelayan asing Indonesia.

"Siasatan mendapati, kesemua nelayan asing ditahan ini sengaja menceroboh ke perairan negara kerana hasil laut kita yang banyak. Mereka ditahan kerana didapati tidak mempunyai kebenaran atau permit menangkap hasil laut di sini.

"Dari segi penguatkuasaan, kita memang sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa dari negara luar dalam menangani jenayah rentas sempadan antaranya penyeludupan imigran, penyeludupan dadah dan rokok kontraban," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!