Tanah runtuh: MPKS bina tembok penahan di Bukit Malawati
SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sudah mula membina tembok penahan di tebing yang rosak akibat kejadian pokok tumbang hingga menyebabkan kejadian runtuhan tanah di pusat pelancongan Bukit Malawati, Kuala Selangor Ahad lepas.
Timbalan Setiausaha MPKS, Ahmad Jamzuri Mujaini berkata, tembok konkrit setinggi lima meter itu dibina sebagai langkah pembaikan semula tebing yang rosak ekoran kejadian itu, dan ia dijangka siap hujung bulan depan.
"Pihak MPKS juga akan memohon kepakaran pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) lain yang mempunyai kepakaran berkaitan cerun untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan perancangan serta pengurusan kawasan yang berbukit atau cerun," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, semakan Jabatan Landskap MPKS terhadap insiden di Bukit Malawati itu mendapati keadaan akar pokok yang tumbuh di kawasan bukit berbatu menyebabkan struktur akar tidak dapat mencengkam dengan kuat, dan menyebabkan ia tumbang.
Pusat pelancongan Bukit Malawati itu dilaporkan ditutup sementara sejak Selasa bagi perlaksanaan kerja-kerja pembaikan runtuhan tanah oleh MPKS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!