United banyak bazir peluang
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag masih tidak berpuas hati walaupun skuad kendaliannya berjaya menewaskan Nottingham Forest 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Rabu.
Menurutnya, United banyak membazirkan peluang terhidang dan ketajaman di depan gol menjadi aspek yang bakal diberikan perhatian lebih khusus.
"Itulah yang saya katakan di bilik persalinan, kami perlu menjaringkan lebih banyak gol. Kami mencipta banyak peluang dan terpaksa menunngu ke hujung perlawanan untuk menjaringkan gol ketiga.
"Selepas separuh masa kami mempunyai dua peluang yang sangat baik untuk menamatkan permainan. Perlawanan akan menjadi lebih mudah.
"Ada banyak perlawanan lagi akan datang, jika anda mendapat gol ketiga maka anda boleh menjimatkan tenaga dan ia lebih baik untuk semua orang," katanya.
Dalam perlawanan itu, Marcus Rashford membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum Anthony Martial menggandakan kedudukan tiga minit berselang.
Fred melengkapkan kemenangan United pada minit ke-87 sekali gus meletakkan United di kedudukan kelima liga satu mata di belakang Tottenham Hotspur di tangga keempat.
Ten Hag menegaskan para pemainnya perlu lebih klinikal di depan gol kerana United mempunyai ramai pemain yang berkemampuan menembusi gawang lawan.
"Kami mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol.
"Anda boleh lihat Martial dan Rashford adalah penjaring gol, Bruno Fernandes juga menjaringkan gol. Kami mempunyai ramai pemain yang boleh menjaringkan gol, tetapi kami perlu bersikap kejam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!