Insiden PRK Rantau, anggota polis diambil tindakan
MELAKA TENGAH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang membenarkan orang awam membuat pemeriksaan kereta peronda (MPV) dalam insiden di PRK Rantau, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan tegas secara dalaman itu akan dibuat berdasarkan prosedur Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang diwujudkan pada Julai 2014.
Menurutnya, anggota yang terlibat tidak sewajarnya membenarkan orang awam membuat pemeriksaan hingga berlaku kekecohan dan pihaknya tidak boleh bertolak ansur dalam kes seperti ini kerana ia berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang serta integriti.
Katanya, mereka sebenarnya ketika itu mempunyai pelbagai saluran lain untuk mengambil tindakan atau mendapatkan pertolongan termasuk meminta bantuan daripada rakan setugas yang lain kerana ketika itu seramai 1,100 anggota polis ditempatkan pada PRK tersebut.
"Arahan telah dikeluarkan kepada ketua polis negeri dan JIPS, supaya masalah dalaman ini diambil tindakan.
"Bagi kekecohan itu mereka boleh mohon bantuan daripada rakan-rakan lain yang berhampiran, ada saluran bantuan sama ada (bantuan) dari balai, ibu pejabat polis daerah atau ibu pejabat kontinjen polis (IPK), jadi tidak ada alasan untuk biarkan orang awam mengawal atau mengambil tindakan seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.
Jelasnya, tindakan orang awam itu disifatkan keterlaluan kerana menghalang penguat kuasa menjalankan tugas dan setakat ini lima individu telah ditahan reman di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sedang menunggu arahan selanjutnya bagi tindakan susulan.
"Dijangkakan esok kertas siasatan dibuka oleh timbalan pendakwaraya (DPP) dan kita tunggu arahan lanjut mereka dituduh atau sebaliknya," katanya.
Baru-baru ini lima lelaki dipercayai penyokong PH bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.
Kejadian berlaku jam 6 petang semasa dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini 151 laporan polis diterima berhubung laman sosial Facebook yang menghina Agong oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
"Walaupun fb telah 'block' tetapi kita masih memburu suspek yang tidak bertanggungjawab dan kita tidak boleh tolak ansur tentang isu ini, kertas siasatan dibuka cuma belum ada tangkapan," katanya.
Terdahulu, 331 anggota dan pegawai Polis Kontinjen Melaka menerima anugerah yang julung kali diperkenalkan dan akan diteruskan lagi secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!