Kemelut PAFA jadi perhatian DUN Perak

Khairudin semasa sesi penggulungan Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.
Khairudin semasa sesi penggulungan Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.
A
A
A

KEMELUT status Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang masih digantung Pesuruhjaya Sukan (PJS) mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok pembangkang dan kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2023, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah memberi komitmen untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap krisis itu.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan agar badan induk bola sepak negeri itu dapat bergerak seperti biasa dan meneruskan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saya selaku orang yang diberi amanah dan tanggungjawab terhadap belia dan sukan buat masa ini telahpun hubungi PJS.

"Insya-ALLAH dalam awal Januari ini, adanya pertemuan antara saya dengan PJS untuk kita bantu selesaikan kemelut PAFA yang sudah berlarutan agak lama kerana kita nak memastikan PAFA boleh bergerak seperti biasa selepas ini," katanya.

Hafez Sabri (Pas-Manjoi) menyokong usaha kerajaan negeri memulihkan semula status dan peranan PAFA.

Katanya, langkah itu sangat penting khususnya kepada generasi muda dan kalangan penyokong dalam mengembalikan maruah bola sepak negeri.

"Saya sendiri mengikuti secara langsung jatuh bangun bola sepak negeri dan saya kira semua maklum dengan apa yang berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning) juga berharap pendekatan cukup serius dapat dilakukan dalam menyelesaikan isu melibatkan PAFA.

"Bola sepak bukan sahaja satu sukan rakyat, tetapi sangat popular dalam kalangan rakyat.

"Jadi kita harap Yang Berhormat Exco dapat ambil pendekatan serius menyelesaikan polemik PAFA yang masih tidak berkesudahan ini," katanya.

Pada 7 Mac lepas, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS bagi membolehkan PAFA membuat langkah pemulihan oleh Jawatankuasa Eksekutif 2018-2021 bagi mengadakan Kongres Tahunan mengikut perlembagaan.

PAFA yang diterajui Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin selepas itu telah mengemukakan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) termasuk laporan Kongres Tahunan PAFA ke-63 yang diadakan 28 Mei lepas kepada PJS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!