86 anggota, pegawai polis Kelantan terlibat salah laku
KOTA BHARU - Sebanyak 45 kes salah laku melibatkan 86 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan direkod sejak Januari hingga Disember tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ada di antara mereka kini dalam siasatan dan ada yang sudah dikenakan tindakan.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan ialah dadah, jenayah, khalwat, tidak hadir tugas dan lain-lain salah laku.
"Walaupun mereka anggota dan pegawai polis, kita tetap siasat dan kenakan tindakan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Rabu.
Beliau memberitahu, pergaulan juga antara faktor polis terjebak dengan salah laku.
"Polis sepatutnya berhati-hati bergaul kerana mereka membawa imej institusi ini dalam masyarakat," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua anggota dan kakitangannya membuat perancangan awal untuk berdepan situasi tahun depan.
"Kurangkan kelemahan dan letakkan diri bersama mereka yang hebat," katanya.
Sementara itu, Muhamad Zaki memberitahu, sebanyak empat balai polis di negeri ini termasuk di Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat terjejas banjir.
Balai polis berkenaan ialah Balai Polis Kuala Jambu, Balai Polis Simpangan, Balai Polis Rantau Panjang dan Balaj Polis Bakong.
Beliau berkata, turut mengalami kerosakan ialah lapan pondok kawalan Pasukan Gerakan Am dan tiga pondok kawalan Angkatan Tentera Malaysia.
"Saya sudah mengarahkan penelitian dilakukan termasuk anggaran kos yang perlu bagi proses pembaikan," katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, anggota dan pegawai perlu bersedia kemungkinan banjir gelombang ketiga.
Menurutnya, anggota keselamatan sudah bersedia kemungkinan hujan lebat pada 2 Januari dan turut memantau keadaan banjir di negara jiran terutama Hadyai dan Golok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!