Cabar Ketua Pembangkang ulang tuduhan perkauman di luar DUN
IPOH - Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dicabar mengulangi tuduhan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kononnya Pakatan Harapan (PH) memainkan sentimen perkauman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari berkata, Razman melemparkan tuduhan berkenaan ketika sesi perbahasan sepanjang Sidang DUN kali ini tetapi tidak memberikan penjelasan apabila diminta.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan itu tidak berasas kerana PH tidak pernah memainkan sentimen perkauman seperti didakwa bahkan gabungan parti itu amat menghormati semua peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi saya nak sebutkan, kita menafikan sekeras-kerasnya bahawa kita bermain dengan soal politik perkauman ini. Kita menentang politik perkauman. Jadi ini yang mungkin gagal difahami. Soalan ini gagal difahami oleh saudara ketua pembangkang daripada Gunung Semanggol (Razman).
"Kalau beliau (Razman) betul-betul komited dan sungguh-sungguh untuk menuduh kita, sila ulas di luar, ulang di luar dewan. Jadi kita boleh ambil tindakan sewajarnya. Sama ada kita membuat laporan polis, ataupun mengambil tindakan undang-undang untuk saman beliau," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Abdul Aziz berkata, Razman tidak sepatutnya membangkitkan soal-soal yang sensitif yang tidak berasas sebaliknya berbahas soal dasar, perpaduan dan sebagainya.
Katanya, ADUN perlu bertanggungjawab dan tidak membuang masa berbahas di DUN dengan menyebut perkara-perkara yang tidak menggambarkan kepentingan rakyat.
"Tolonglah jangan main isu-isu macam ini supaya Ketua Pembangkang itu lebih dihormati dan lebih berperanan dalam Dewan dengan memperjuangkan nasib serta kehendak rakyat, itu yang kita nak.
"Sebab kita dah berikan kedudukan yang sewajar kepada Ketua Pembangkang, ada pejabat, ada kereta dan semua ada. Jadi maknanya mainkan peranan secara yang konstruktif, yang baik," katanya.
Ketika sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2023 pada Selasa, Razman dalam ucapannya menuduh terdapat pihak yang meniup api perkauman yang memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Bagaimana pun ketika Abdul Aziz bangun meminta penjelasan, Razman berkata, perkara itu boleh dilihat ketika PH memerintah selama 22 bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!