Najib rayu keputusan batal saman terhadap Tommy
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang membatalkan samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam.
Peguam, Yudistra Darma Dorai yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya memfailkan notis rayuan berkenaan pada Khamis minggu lalu.
Peguam, Mervyn Lai yang mewakili Tommy, mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh lanjut berhubung perkara tersebut.
Pada 22 Oktober tahun lalu, Najib memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Tommy dan kerajaan menyalahgunakan kuasa, mendakwanya dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 25 November lalu, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan saman Najib berhubung dakwaan isu berkenaan.
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas mendapati saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!