Duda dipenjara tiga tahun, samun warga emas di dobi layan diri
KUALA LUMPUR - Seorang duda dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita warga emas di sebuah dobi layan diri, dua minggu lepas.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas pekerja restoran Mohamed Ghibran Mohamed Yusof, 23, selepas dia mengaku melakukan samun dengan mengambil dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi barangan peribadi dan wang tunai RM200, milik seorang pesara kerajaan berusia 64 tahun yang juga seorang ibu tunggal.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa secara tiba-tiba telah merentap beg tangan yang disandang pada bahu kanan wanita itu sebelum melarikannya dengan motosikal semasa mangsa ingin memasukkan kain langsir ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi di Cheras, di sini pada 7.30 pagi, 11 Dis lepas.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 21 Disember lepas.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata, tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan melakukan jenayah terhadap ibu tunggal itu yang kematian suami.
"Kamu masih muda dan tidak mempunyai penyakit, namun kamu memilih untuk melakukan jenayah samun bagi mendapat duit dengan mudah. Cuba bayangkan kalau mangsa itu adalah ibu kamu sendiri yang direntap. Kamu tidak fikirkan perkara itu ketika melakukan jenayah," kata hakim itu.
Mohamed Ghibran, yang menangis ketika berada dalam kandang tertuduh berkata, "saya tahu, Yang Arif”.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama, manakala Mohamed Ghibran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung dua anak serta ibu yang sakit.
"Saya dan isteri telah bercerai dan dua anak kami berada dalam jagaan saya. Saya minta maaf Yang Arif. Saya mohon tidak dipenjarakan kerana saya perlu jaga anak-anak saya," kata tertuduh dalam nada sebak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!