Perak bentang RUU Anti Lompat Parti

Datuk Seri Saarani Mohamad pada Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu. - Foto: Bernama
Datuk Seri Saarani Mohamad pada Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan lompat parti.

Usul RUU tersebut dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Azman Noh (Pengkalan Baharu-BN).

Saarani berkata, RUU ini bertujuan untuk meminda beberapa perkara di bawah Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bagi tujuan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak bertukar parti.

"Ia dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan)(3) 2022.

"Pindaan seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu diikuti dengan pindaan yang sewajarnya kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum peruntukan tersebut boleh mula berkuat kuasa," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan ketika Sidang DUN Perak pada Rabu.

RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkenaan mempunyai lima Fasal.

Fasal-fasal tersebut antara lain memasukkan perkara baharu iaitu 32A ke dalam Enakmen ibu untuk memperuntukkan bahawa seseorang ADUN perlu mengosongkan kerusinya setelah dipilih ke Dewan Negeri apabila melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas setelah dipilih sebagai ADUN menjadi anggota parti politik.

Artikel Berkaitan:

Perkara baharu 32A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang wakil rakyat itu tidak terhenti menjadi ADUN disebabkan berlaku pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

Peruntukan itu juga terpakai jika seseorang ADUN melepaskan keanggotaannya daripada parti politik apabila dipilih sebagai Yang Dipertua atau dipecat daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Berkenaan kekosongan luar jangka di DUN pula, perkara ini hendaklah dipastikan oleh Yang Dipertua apabila menerima pemberitahuan bertulis daripada mana-mana ADUN berkenaan mengenai berlakunya kekosongan itu.

Yang Dipertua hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemberitahuan bertulis itu.

Selaras dengan Fasal (5) Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, SPR hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh menerima pemberitahuan berkenaan kekosongan luar jangka itu daripada Yang Dipertua.

RUU berkenaan dijadual akan dibahaskan oleh ADUN kerajaan dan pembangkang pada Khamis sebelum diluluskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!