Pengerusi Muda Perak dipecat, keahlian digantung

Mutalib (kiri), kenyataan Media Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi pada Rabu.
Mutalib (kiri), kenyataan Media Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk menggugurkan Mutalib Uthman dari jawatannya selaku Pengerusi Muda Perak selain menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuatkuasa pada 27 Disember.

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan itu diambil berkaitan Mutalib yang melanggar arahan dan disiplin parti seperti mengumumkan niat untuk bertanding di Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan saluran dan poster rasmi parti tanpa persetujuan.

Selain itu katanya, Mutalib juga didapati telah meminta akses akaun rasmi Muda Perak dan menukar kata laluan yang menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti.

"Beliau juga selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Amir, keputusan untuk menggantung Mutalib telah disampaikan padanya secara lisan dan pihaknya turut mengucapkan penghargaan padanya atas sumbangan yang diberikan.

"Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP ini, akan diputuskan usai rayuan diterima," katanya.

Amir turut memaklumkan bahawa telah menerima surat peletakan jawatan M Malani sebagai Pengerusi Muda Pahang dan Jazz Tan, Pengerusi Muda Pulau Pinang disebabkan isu komitmen dan kesihatan.

Beliau juga mengumumkan S Devadas sebagai Pemangku Pengerusi Muda Perak manakala B Tineshvar, Pemangku Pengerusi Muda Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Pemangku Pengerusi Muda Pahang, ia akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!