[VIDEO] Kanak-kanak maut didera: Tiga tahun Luqman dijaga JKM
SEGAMAT - Datuk saudara kepada Lukman Daniel@Zainal, 4, yang dipercayai menjadi mangsa dera, terkilan kerana tidak menerima sebarang perkhabaran tentang kanak-kanak malang itu selepas kali terakhir bertemunya pada bulan lepas.
Ruslan Ahmad, 47 berkata, Luqman yang merupakan anak bongsu daripada sebelas beradik dijaga sejak Ogos lalu selepas diambil daripada rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Selama tiga tahun Luqman diletakkan di bawah jagaan JKM atas perintah mahkamah kerana ibunya sedang menjalani hukuman di penjara. Selepas berakhir tempoh penjagaan itu, saya dipelawa oleh JKM untuk jaga Luqman, saya bersetuju.
"Pada bulan Oktober lalu, kakak Luqman yang dikenali sebagai Tasya dan ibunya mahu menjaga Luqman. Saya diberitahu ibunya ketika itu sudah keluar daripada penjara.
"Atas rasa simpati dan belas kasihan, saya bersetuju menyerahkan Luqman kepada mereka setelah mendapat nasihat JKM," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom, Labis di sini pada petang Rabu.
Menurut Ruslan, Tasya membawa Luqman mengunjunginya di Labis pada bulan lepas dan memberitahu ibu mereka sudah dipenjarakan kerana dadah.
"Tasya yang turut mempunyai dua orang anak yang masih kecil terus menjaga Luqman. Ketika itu saya tidak fikir yang buruk, hanya berprasangka baik.
"Namun tiada perkhabaran diterima daripada Tasya memandangkan pesanan mesej yang saya hantar kepadanya tidak dibalas.
"Saya dikejutkan dengan panggilan daripada pihak polis pada Jumaat, memaklumkan mengenai laporan kes dera berlaku kepada Luqman," katanya.
Dalam pada itu, abang kandung mangsa, Mohd Nasrullah Daniel@ Zainal, 21, menggesa siasatan menyeluruh dilakukan pihak polis bagi membela kematian adik bongsunya.
"Adik saya seorang yang pendiam dan mempunyai masalah kesihatan sejak dilahirkan. Adik saya juga lambat bercakap walaupun sudah berusia empat tahun.
"Walaupun kami adik beradik tidak tinggal sebumbung dan membesar bersama namun kami sentiasa berhubung menggunakan pesanan mesej dan kerap membantu sekiranya ada antara kami yang menghadapi masalah terutama kewangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!