Pindaan Akta Kerja: Beri masa kepada majikan buat persediaan
SHAH ALAM - Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023 sepatutnya dibuat secara berperingkat agar majikan dapat membuat persediaan awal.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, langkah itu perlu bagi mengelak majikan ‘terkejut’ dan tidak sempat membuat persediaan kerana ia melibatkan kos.
“Kita faham hasrat kerajaan itu amat baik, cadangan saya kena buat secara berperingkat, buat perlahan-lahan jangan terkejut sangat, macam bayaran kerja lebih masa (OT) boleh dimulakan dengan gaji RM2,500, RM3,000 dan seterusnya hinggalah RM4,000 mungkin lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Sinar Live ‘Akta Pekerja: Majikan pening, staf bersorak’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Effendy Abdul Ghani dengan dihoskan oleh Fahiz Ariff.
“Penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari, 60 hari tak cukup ke? Sebetulnya ia bukan sebab panjang masa itu, tetapi kualiti masa 60 hari itu.
“Kalau ada ibu nak tambah cuti bersalin, ambillah cuti tanpa gaji, cuti paternity kepada bapa pula dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari bagi saya tiga hari pun dah cukup, tapi kalau tak cukup mohon cuti sebab ini semua melibatkan kos.
Ameer berkata, akibat pelaksanaan pindaan ini semua majikan di Malaysia menanggung kos RM111 bilion.
“Kita faham RM111 bilion ini majikan bayar kepada pekerja, pekerja berbelanja dan ekonomi berjalan sebab kalau kita labur RM1 dia akan jadi berganda cara yang baik untuk gerakkan ekonomi, tetapi jangan laju sangat,” ujarnya.
Menurutnya, ekonomi negara masih lagi belum stabil dan Malaysia bukanlah sebuah negara maju tetapi membangun dan banyak meminjam duit.
“Kita bersaing dengan perniagaan yang sama antara negara-negara Asia yang lain.
“Produktiviti kita juga bukan yang bagus, bukan sebab pekerja tetapi ia juga diambil dari sudut suasana dan teknologi.
“Sebagai contoh kerajaan memutus untuk menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga Julai ini.
"Sebagai majikan saya tidak setuju kerana pekerja yang lima itulah B40 kita dan kenapa kita hendak menganiayai mereka, tindakan itu salah,” katanya.
Menurutnya, sebagai sebuah pasar raya, Mydin cuba sedaya upaya untuk pastikan harga barangan tidak naik.
“Kita tak boleh naikkan harga sewenang-wenangnya tapi Mydin bil eletrik sahaja sudah cecah RM10 juta sebulan.
“Semua orang ada tekanan, yang penting kita boleh bekerjasama kerana tiada pekerja, tiada juga majikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!