Muhammad Soleh buru status pro di Sepanyol
PEMAIN bola sepak muda negara, Muhammad Soleh Ahmad Shukri yang akan menyertai Akademi Malaga City FC di Sepanyol selama setahun bermula bulan depan menanam tekad untuk bergelar pemain profesional suatu hari nanti.
Muhammad Soleh, 17, yang akan berlepas esok tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila mendapat tawaran menyertai akademi berkenaan bulan lepas dan berjanji untuk menguasai teknik permainan bola sepak sebaiknya sepanjang di Sepanyol.
Anak jati Terengganu itu berkongsi dia sudah berkecimpung dalam sukan bola sepak sejak berusia tujuh tahun, namun hanya serius untuk berada dalam arena bola sepak negara tiga tahun lalu bermula dengan menjadi pemain sayap kanan kelab FC 1Goal.
"Saya sangat gembira untuk ke Akademi Malaga bagi memperbaiki pengetahuan berkenaan bidang bola sepak walaupun agak sedih kerana ini merupakan pengalaman kali pertama saya berpisah dengan keluarga.
'Namun, saya yakin saya mampu membuat ahli keluarga bangga dengan pencapaian saya nanti dan berharap mampu berkongsi ilmu bola sepak bersama dengan yang lain apabila sudah habis menyertai akademi ini nanti," katanya.
Muhammad Soleh ditemui pemberita selepas menerima sumbangan barangan kesihatan bernilai kira-kira RM2,000 daripada Hospital Pakar KPJ Damansara yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Ahmad Syukri Jamaludin dan pakar perunding Ortopedik, Kecederaan Sukan dan Trauma Dr Rozman Md Idrus pada Rabu.
Sementara itu bapa Muhammad Soleh, Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh yang juga Pakar Perunding Perubatan dan GastroHepatologi KPJ Damansara tidak menyangka anak bongsu daripada empat adik-beradik itu memilih menjadikan bola sepak sebagai kerjaya profesional.
Beliau yang akan turut berangkat ke Sepanyol esok selama sebulan untuk memberi sokongan kepada Muhammad Soleh bersyukur kerana anaknya itu mampu membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya bola sepak sebaiknya.
Selain Muhammad Soleh, hampir 10 pemain muda negara sebelum ini pernah memasuki akademi bola sepak serta pasukan pembangunan terkemuka antarabangsa termasuk Aqil Arazi Aziz di AS Cannes, Perancis; Allee Putra Azril (Akademi Malaga City FC, Sepanyol) serta Omar Raiyan Kama Azlan di Serbia dengan kelab Red Star Belgrade.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!