Nahas jalan raya libatkan 200 kenderaan
BEIJING - Sekurang-kurangnya seorang maut dalam kejadian kemalangan jalan raya terbesar melibatkan kira-kira 200 kenderaan di bandar Zhengzhou, China, menurut stesen penyiar CCTV pada Rabu.
Gambar dari pemandangan udara menunjukkan nahas itu melibatkan pelbagai kenderaan termasuk lori dan saling merempuh antara satu sama lain di sebuah lebuh raya dalam keadaan kabus tebal.
Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku kerana jarak penglihatan yang rendah dengan kurang 500 meter di kebanyakan kawasan.
"Kabus tebal menyelubungi Jambatan Sungai Kuning di Zhengzhou secara tiba-tiba. Beberapa mangsa yang cedera dilaporkan terperangkap dalam kenderaan masing-masing.
"Jabatan bomba turut mengerahkan 11 jentera dan 66 anggota untuk memberi bantuan," lapor CCTV lagi.
Nahas jalan raya adalah kejadian biasa di Beijing kerana kekurangan kawalan keselamatan yang ketat.
Pada 27 September lalu, sekurang-kurangnya 27 mangsa penumpang terbunuh selepas bas dinaiki mereka menuju ke kemudahan kuarantin Covid-19 di wilayah Guizhou terbalik di lebuh raya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!