Adamas belum menerima maklum balas

Azura Abidin
Azura Abidin
A
A
A

AGENSI Anti-Doping Malaysia (Adamas) belum menerima maklum balas daripada dua pemenang pingat dalam acara angkat berat yang gagal ujian doping pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, September lepas.

Pengarahnya, Azura Abidin berkata, kedua-dua atlet berkenaan mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 23 Disember lalu untuk membuat keputusan sama ada mahu membuka sampel B atau sebaliknya.

"Setakat ini, mereka digantung sementara sehingga menunggu maklum balas jika atlet pilih untuk sesi pendengaran atau terus mengaku (bersalah). Dalam kebanyakan kes, kami galakkan dibuat sesi pendengaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, dua atlet lelaki positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid' ketika acara SUKMA 2022 yang berlangsung di Putrajaya dari 16-24 September lepas.

Sebelum ini, tiga atlet angkat berat - dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis - termasuk seorang berusia 16 tahun disahkan positif penggunaan bahan terlarang jenis Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone pada ujian sebelum temasya berkenaan.

Susulan itu, PABM mengundur diri daripada mengendalikan acara angkat berat Sukma, menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih sendiri pertandingan, namun sebarang rekod dicipta tidak diiktiraf.

Sementara itu Azura berkata, sesi pendengaran bagi kes tiga atlet berkenaan dijangka diadakan pada Januari atau Februari depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!