Polis siasat pasangan Rusia ceroboh Menara Merdeka 118
KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan sepasang pasangan tular dipercayai warga Russia kerana disyaki telah menceroboh Menara Merdeka 118 untuk memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan, di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pasangan berkenaan akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
"Kedua-dua individu terbabit akan disiasat atas tuduhan menceroboh," katanya pada Selasa.
Sebelum itu, pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak pencakar langit berkenaan menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka berdua di puncak menara berkenaan dimuat naik di sebuah forum dalam talian.
Forum dalam talian yang dikenali sebagai Skyscrapper City itu merupakan sebuah komuniti yang mengumpulkan pencinta pencakar langit, perancangan bandar dan struktur bangunan dari serata dunia.
Salah seorang daripada pasangan tersebut turut berkongsi gambar dalam satu hantaran di Instagram sambil memberitahu berjaya menawan menara kedua tertinggi di dunia berkenaan selepas berjam-jam mendaki sambil mengelak dikesan kamera litar tertutup dan pasukan keselamatan.
"Saya mendengar pelbagai cerita berkenaan cubaan memanjat menara ini tanpa kebenaran. Yang paling sedih sehingga dipenjara beberapa bulan.
"Ada banyak pintu tertutup dan CCTV di dalam menara berkenaan. Perkara itu membuatkan ia menara yang paling diidamkan di seluruh dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!