SDAM mahu tepis stigma sukan kayangan
PERSATUAN Sukan Selam Malaysia (SDAM) sasar tarik lebih ramai generasi muda menyertai sukan selam sekali gus menepis stigma aktiviti itu merupakan sukan kayangan.
Presiden SDAM, Noor Fadzli Shah Noor Hashim berkata, sukan selam merupakan aktiviti baharu di negara ini telah mendapat sambutan dalam kalangan penyelam bertauliah.
Katanya, SDAM berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan dan bernaung di Pertubuhan Sukan Bawah Air Malaysia (MUSF).
“Sukan menyelam adalah sukan dalam air yang menggunakan peralatan skuba merangkumi acara perseorangan dan berpasukan.
“Acara ini yang dijalankan di kolam renang pada kedalaman minima 1.5 meter untuk menguji kecekapan penggunaan teknik skuba rekreasi oleh pesaing.
“Untuk menyertai sukan ni mestilah berumur 12 tahun dan seorang penyelam bertauliah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Jelas Noor Fadzli Shah, SDAM ingin memperkenalkan sukan itu dalam kalangan peminat sukan bawah air sekali gus memacu penubuhan cawangan di peringkat negeri.
“Untuk permulaan ini SDAM memberi fokus kepada pengenalan dan kesedaran terhadap sukan selam itu sendiri kerana tidak mahu keliru dengan aktiviti rekreasi selam skuba.
“Baru-baru ini SDAM dijemput bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim dalam sesi Town Hall di Menara KBS.
“Semoga apa yang disampaikan dan dibincangkan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengadakan kolaborasi serta memperkenalkan dan mempromosikan sukan selam ini bersama-sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!