Banjir makin pulih, hanya satu PPS dibuka di Terengganu
KUALA LUMPUR - Situasi banjir yang melanda beberapa negeri sejak akhir bulan lepas semakin pulih dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Terengganu pada pagi Khamis.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 53 orang daripada 12 keluarga masih di PPS Masjid Kampung La di Besut, kekal seperti Rabu.
Semua mangsa berkenaan dijangka berada di PPS itu untuk tempoh yang lama berikutan kebanyakan rumah mereka rosak sepenuhnya akibat dihanyutkan arus banjir.
Sementara itu, jumlah penduduk di Sabah yang terkesan dengan fenomena air pasang besar dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2, Sandakan berkurang kepada 652 orang daripada 113 keluarga pagi Khamis berbanding 688 orang daripada 121 keluarga, malam Rabu.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini menasihatkan penduduk di negeri-negeri Pantai Timur agar kekal berwaspada walaupun situasi bencana itu semakin pulih, berikutan hujan lebat berterusan masih berpotensi berlaku kerana Monsun Timur Laut belum berakhir hingga Mac 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!