Bisa Haaland bantu City benam Leeds
PENYERANG berbisa, Erling Haaland meneruskan aksi padu apabila meledak dua gol ketika membantu Machester City melakar kemenangan 3-1 ke atas Leeds United pada Khamis.
Kemenangan itu membolehkan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) terus merapati pendahulu, Arsenal dengan hanya dibezakan lima mata.
Ledakan dua gol itu juga membantu Haaland memahat sejarah tersendiri sebagai pemain EPL terpantas menyumbat 20 gol daripada 15 aksi liga.
Gol yang dijaringkan pada minit ke-51 dan 64 itu memecah rekod pemain Sunderland, Kevin Philips yang meledak 20 gol daripada 21 perlawanan.
Lebih menakjubkan jumlah gol Haaland itu mengatasi jaringan pasukan EPL seperti Chelsea dengan 19 gol, Bournemouth (18 gol), Aston Villa (17 gol) dan Crystal Palace (15 gol).
Pada aksi itu The Citizens membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Sepanyol, Rodri pada penghujung babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua Haaland akhirnya mencetak nama sebagai penjaring di awal permainan dengan penyudah mudah sebelum menambah jaringan ke-20 musim ini pada minit ke-64.
Pascal Struijk memberi harapan kepada penyokong tuan rumah untuk bangkit ketika dia menanduk masuk tatkala saingan berbaki 17 minit, namun ia hanyalah jaringan saguhati.
Kemenangan itu membantu City untuk mengumpul 35 mata, manakala Arsenal memimpin carta liga dengan 40 mata.
Leeds pula kekal di tangga ke-15, dua mata di atas zon penyingkiran.
"Saya mempunyai sasaran (matlamat) tetapi tidak mahu menyatakannya.
"Dalam bilik persalinan saya berkata pada diri boleh menjaringkan lima gol tetapi perkara yang paling penting ialah kami menang.
"Kami harus terus memburu Arsenal. Saya mampu menjaringkan beberapa gol lagi, namun itulah lumrah kehidupan. Saya harus terus berlatih dengan gigih," ujar Haaland.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!