Sabah harus ambil alih pengurusan feri Labuan-Menumbok

Kerajaan Sabah digesa ambil alih pengurusan feri laluan Labuan-Menumbok jika rundingan antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha feri menemui jalan buntu. Gambar kecil: Masiung
Kerajaan Sabah digesa ambil alih pengurusan feri laluan Labuan-Menumbok jika rundingan antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha feri menemui jalan buntu. Gambar kecil: Masiung
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah harus bersedia untuk mengambil alih pengurusan feri laluan Labuan-Menumbok yang diswastakan jika rundingan antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha feri menemui jalan buntu.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, langkah pengusaha feri ro-ro menaikkan harga tambang kenderaan persendirian antara 42.5 peratus hingga 73.3 peratus mulai 1 Januari tahun hadapan dilihat kurang wajar ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Kita memahami kehendak pengusaha feri kerana mereka mahu menambah keuntungan, tetapi Kerajaan Perpaduan Malaysia yang baharu dibentuk harus selari dengan misinya untuk mengatasi kos sara hidup rakyat.

"Jika pihak pengusaha feri bertegas untuk tidak menurunkan kadar tambang baharu itu, maka kerajaan negeri perlu ada inisiatif lain untuk mengambil alih operasi pengangkutan itu di bawah seliaan Jabatan Laut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut turut menggesa Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji isu itu kerana wujud rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Bagaimanapun katanya, jika alasan pengusaha feri itu relevan, kerajaan mungkin perlu memberikan subsidi minyak kepada pengusaha sebagai langkah mengekalkan harga tambang sedia ada.

Sehubungan itu, Masiung mencadangkan jika kerajaan bersetuju, pengguna kenderaan juga boleh diberikan subsidi tambang sepertimana diberikan kepada penumpang individu sebelum ini.

Sebelum itu, Pengerusi Labuan Mainland Sdn Bhd, Datuk Chin Hong Voi dilaporkan berkata, kenaikan tambang itu bagi menampung kos penyelenggaraan termasuk harga bahan api dan pelaksanaan gaji minimum.

Artikel Berkaitan:

Kenaikan tambang tersebut iaitu 42.5 peratus melibatkan kenderaan persendirian dan komersial, manakala 73.3 peratus melibatkan motosikal berkuasa tinggi.

Bagaimanapun katanya, kenaikan tambang itu tidak melibatkan kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler.

Jelasnya, empat feri milik syarikat itu beroperasi lima hingga lapan perjalanan sehari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!