Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
RINGGIT diniagakan rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka pada Khamis berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap geopolitik ketika pembukaan semula sempadan China dan larangan baharu penjualan minyak oleh Rusia, kata seorang penganalisis.
Pada jam 9.13 pagi, unit tempatan merosot kepada 4.4250/4295 berbanding dolar AS daripada 4.4230/4275 sewaktu ditutup pada Rabu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, walaupun cakap-cakap mengenai geopolitik tidak banyak membantu meredakan kebimbangan mengenai kemelesetan global, tahap dan kekuatan untuk pembukaan semula China menjadi petunjuk kepada ringgit.
"Bagaimanapun, dengan kes Covid-19 yang semakin meningkat, peserta pasaran kini mempercepatkan tempoh masa untuk pemulihan sambil berpandangan bahawa mobiliti isi rumah akan kekal rendah biarpun selepas pembukaan semula sepenuhnya, berikutan kesan psikologi virus yang berlanjutan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa memberikan maklum balas terhadap had harga minyak yang dikenakan oleh Barat dengan menandatangani dekri yang melarang bekalan minyak mentah dan produk minyak selama lima bulan mulai 1 Februari 2023 kepada negara-negara yang mematuhi had harga itu.
Sehubungan itu, Innes berkata, harga minyak merosot dan dijangka menjadi simbolik kepada ketidaktentuan pasaran.
"Bekalan dari Rusia yang berkurangan dan permintaan yang meningkat susulan pembukaan semula China sewajarnya baik untuk harga minyak pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2800/2840 daripada 3.2802/2840 sewaktu ditutup pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 4.7033/7081 daripada 4.7043/7091 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3281/3336 daripada 5.3257/3312 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3069/3108 daripada 3.3012/3048. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!