Covid-19: Rakyat Malaysia disaran ambil dos penggalak - KKM
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada semua rakyat Malaysia bagi mendapatkan suntikan dos penggalak terutama barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana peningkatan jumlah kes di negara China.
"Melihat kepada perkembangan terkini di negara China, KKM ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan suntikan dos vaksin penggalak terutama barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.
"Walaupun kes terkini dalam negara masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga," katanya di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan pada November, China menyaksikan peningkatan rekod kes Covid-19 melibatkan jangkitan tempatan yang menyaksikan langkah sekatan pergerakan diperketatkan di beberapa bandar utama termasuk Beijing dan Shanghai bemula 24 November.
Beberapa bandar seperti Shanghai, Beijing, Guangzhou, Wuhan dan lain-lain telah dilanda protes besar-besaran menuntut sekatan pergerakan dan ujian saringan PCR ditarik balik serta pelonggaran sekatan Covid-19.
Pada Jumaat, media melaporkan kira-kira 37 juta penduduk di China mungkin dijangkiti Covid-19 dalam sehari.
Difahamkan sehingga 248 juta orang atau hampir 18 peratus penduduk berkemungkinan dijangkiti virus itu dalam 20 hari pertama pada Disember.
China juga dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!