Van Dijk pengaruhi Gakpo sertai Liverpool

Van Dijk (kanan) memainkan peranan penting membawa masuk Gakpo ke Anfield. Foto Agensi
Van Dijk (kanan) memainkan peranan penting membawa masuk Gakpo ke Anfield. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi, Cody Gakpo mendedahkan perpindahannya ke Liverpool disebabkan pengaruh yang dimainkan rakan sepasukan di Belanda, Virgil van Dijk.

Pemain berusia 23 tahun itu mengesahkan perpindahan ke Anfield dari PSV Eindhoven dengan nilai £45 juta (RM239.8 juta) sekali gus menjadikan dia sebagai rekrut musim sejuk pertama kelab Inggeris tersebut.

Perpindahan itu juga dilihat signifikan selepas Gakpo sebelum ini sering kali dikaitkan dengan Manchester United sebaliknya dia memilih untuk bersama dengan seteru, Liverpool.

Gakpo tidak menolak faktor van Dijk memainkan peranan penting kenapa beliau memilih untuk menyertai Liverpool berbanding United.

“Beliau adalah kapten kami (di skuad Belanda) dan mempunyai personaliti yang hebat serta pemain yang mantap.

“Apa yang saya boleh katakan, beliau banyak membantu dalam beberapa perkara. Liverpool adalah sebuah kelab yang besar dan ini adalah pencapaian yang cukup baik apabila ada kelab sebegini minat kepada saya,” ujar Gakpo.

Perpindahan Gakpo ke Liverpool adalah sama seperti van Dijk apabila kedua-dua pemain kebangsaan Belanda ini berhijrah ke Anfield pada pertengahan musim.

Gakpo melengkapkan pemeriksaan kesihatan di Melwood pada Rabu untuk menyempurnakan kontrak selama lima tahun setengah itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami sering berhubung sejak beberapa hari lalu. Virgil beritahu saya sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjadi pemain lebih baik,” ujar Gakpo.

Dia yang belum pernah menjejakkan kaki di Anfield walaupun sebagai pemain lawan berhajat untuk membawa pulang banyak kejuaraan untuk kelab itu walaupun menyertai The Reds pada pertengahan musim.

“Sudah pasti saya mahu menang banyak hadiah. Beraksi dengan baik, tunjukkan kepada dunia apa yang kami boleh lakukan sebagai pasukan dan apa yang saya boleh beri sebagai pemain.

“Secara peribadi, saya mahu menjadi pemain yang lebih baik dan terus maju dari musim ke musim,” ujar Gakpo.

Dia bakal menyarung jersi nombor 18 yang sebelum ini dipakai oleh Takumi Minamino.

Gakpo tampil dengan reputasi cemerlang hasil ledakan 66 gol sejak awal musim lalu dengan 30 daripadanya hadir dalam 24 perlawanan musim ini.

Dia turut cemerlang bersama Belanda di Piala Dunia Qatar apabila menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!