[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Pemandu jengkaut sebak keluarkan mayat

Suasana di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Bernama.
Suasana di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Bernama.
A
A
A

GENTING HIGHLANDS - Seorang pemandu jengkaut tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak setiap kali mengeluarkan mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember lalu.

Mohd Adam Mustafa, 35, berkata, sebanyak sembilan mayat ditemuinya hasil bantuan daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

Menurutnya, sehingga kini dia masih sukar melupakan penemuan mayat berpelukan antara ibu dan anak.

"Dalam sembilan mayat ditemui, saya temui dua pasangan iaitu masing-masing ibu dan anak ditemui dalam keadaan memeluk erat antara satu sama lain.

"Pasangan mayat ibu dan anak dewasa saya temui dalam keadaan tertimbus di cerun, manakala yang meruntun jiwa saya apabila melihat satu lagi mayat ibu dan anak usia setahun didakap dengan erat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis makan malam meraikan 10 pemandu jengkaut terlibat menyelamat mangsa tanah runtuh Batang Kali di Restoran Makanan Enak, Genting Highlands pada Rabu.

Seramai 10 pemandu jengkaut warga Indonesia berasal dari Aceh yang bekerja di Syarikat kontraktor, Aset Kayamas Sdn Bhd terlibat dalam pencarian mayat dan kenderaan mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Mohd Adam memberitahu, kerja-kerja mengorek tanah di kawasan kejadian disifatkan pengalaman paling sukar sepanjang mengendalikan mesin jengkaut selama 10 tahun.

"Keadaan permukaan tanah licin dan mudah terbenam selain perlu menggali tanah dengan berhati-hati kerana tidak mengorek tanah semata-mata, tetapi mencari mayat, malah setiap kali menemui mayat badan saya menggeletar menyaksikan peristiwa sedih ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Adam berkata, misi mencari dan mengeluarkan mayat mangsa berdepan dugaan getir berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

"Saya tidak mengharapkan sebarang balasan, malah khidmat ini saya tawarkan secara percuma kerana ini sahaja yang mampu saya lakukan demi memastikan mereka yang hilang dijumpai," katanya.

Seorang lagi rakannya, Amin Musa, 32, berkata, sepanjang menyertai operasi itu, sebanyak 10 mayat dijumpainya semasa mengendalikan jengkaut.

Katanya, perasaannya bercampur-baur dan sukar untuk digambarkan setiap kali dapat menemui mayat yang tertimbus.

"Saya sendiri hanya mampu mengalirkan air mata dan tidak sanggup untuk melihat mayat yang dijumpai.

"Ini pengalaman mencabar dalam hidup saya semasa berada di Malaysia yang selama ini menjadi tempat saya mencari rezeki," jelasnya

Saiful Azhar Razali, 36, berkata, pengalaman menjumpai mayat lelaki berpelukan dengan seekor anjing antara yang sukar dilupakan.

"Saya menemui mayat kedua terakhir dalam operasi itu di Sektor B dan rasa sedih menyaksikan penemuan lelaki itu dengan anjingnya," katanya

Saiful Azhar berkata, operasi itu antara pengalaman mencabar sepanjang dia bekerja sebagai pemandu jengkaut.

"Pengalaman pertama dalam kejadian tsunami di Aceh sendiri yang mengorbankan 230,000 nyawa dan kali ini saya membantu kejadian tanah runtuh di Malaysia pula.

"Indonesia dan Malaysia serumpun dan atas semangat itu kami tidak mengeluh, apatah lagi berasa penat untuk sama-sama mengeluarkan mayat yang tertimbus," jelasnya.

Sementara itu, aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang berkata, majlis diadakan itu bagi memberi penghargaan kepada pemandu jengkaut yang bekerja keras dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

Jelasnya, semua 'hero' itu telah berjaya membantu mengeluarkan semua mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan.

"Saya berterima kasih atas usaha mereka yang tidak jemu untuk terus menggalas tanggungjawab untuk sama-sama membantu pasukan penyelamat.

"Lebih membanggakan, mereka semua ini bukan rakyat Malaysia, sebaliknya warga Indonesia dari Aceh yang tidak mengira latar belakang untuk sama membantu warga kita yang ditimpa musibah," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!