Bajet 2023 bentang 24 Februari, sidang Dewan Rakyat 29 hari
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) dijadual dibentangkan pada jam 4 petang, 24 Februari depan.
Ia terkandung dalam Takwin Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas, yang akan mula bersidang pada 13 Februari ini.
Menurut takwin yang dimuat naik di laman web Parlimen, sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 29 hari, dengan pembentangan Bajet 2023 tersenarai dalam aturan pada minggu kedua.
Mengikut urusan majlis, Sidang Dewan Rakyat akan dimulakan dengan pembukaan penggal Parlimen pada 13 Februari dan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja pada hari berikutnya.
Perbahasan Titah Diraja pula berlangsung selama lima hari bermula 15 Februari, diikuti jawapan oleh menteri selama dua hari.
Selepas itu, Bajet 2023 dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 24 Februari, seterusnya disusuli dengan Perbahasan Belanjawan di Peringkat Dasar pada 1 Mac hingga 7 Mac 2023.
Menteri berkaitan akan menjawab selama dua hari selepas perbahasan, sebelum diteruskan ke Perbahasan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa selama 10 hari.
Aturan Mesyuarat turut menyenaraikan RUU dan urusan kerajaan yang lain selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 Mac.
Pada 20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.
Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.
Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Bagaimanapun, Parlimen dibubarkan tiga hari selepas pembentangan Bajet 2023 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!