Kes babitkan PDI dikaji semula - Zambry

Zambry - Foto Bernama
Zambry - Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Malaysia akan kaji semula pengendalian kes-kes membabitkan penganiayaan perkhidmat domestik Indonesia (PDI) supaya keadilan dapat ditegakkan dengan berlandaskan peruntukan perundangan negara sedia ada, kata Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

"Saya amat memahami akan keprihatinan Pemerintah Indonesia terhadap kebajikan dan kesejahteraan PDI di Malaysia,” katanya ketika sidang akhbar bersama rakan sejawat Retno Marsudi selepas mesyuarat dua hala di sini pada Khamis.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia pada 1 April 2022.

Zambry menzahirkan penghargaan Malaysia ke atas sumbangan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PDI kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia serta kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Beliau yang berada di Indonesia untuk lawatan rasmi tiga hari turut membincangkan isu-isu dua hala iaitu potensi pelaburan Malaysia di ibu kota negara (IKN) Indonesia yang baharu, Nusantara dan pembatasan sempadan maritim serta darat antara kedua-dua negara.

"Saya memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus berusaha untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim dan darat itu," katanya sambil menambah pembangunan Nusantara akan meningkatkan hubungan ekonomi.

Selain memperkukuh hubungan kerjasama lawatan rasmi ini merupakan persediaan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta yang dijangka diadakan dalam masa terdekat pada Januari 2023, kata Zambry.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengulangi pendirian perdana menteri bahawa "Indonesia kekal sahabat sejati dan jiran yang penting buat Malaysia."

Zambry diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq dan Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra, Roseli Abdul. - Bernama