Jurukamera RTM cedera ditembak alami tekanan PTSD: Pakar psikiatri

Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 31, (kanan) memerhatikan pengawal peribadi, Jaafar Haalid yang dibawa ke Mahkamah Tinggi George Town hari ini. Mohamad Amirul Amin hadir di mahkamah itu untuk memberi keterangan dalam kes saman yang difailkannya terhadap Jaafar dan syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd berhubung insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu tiga tahun lepas. - Foto Bernama
Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 31, (kanan) memerhatikan pengawal peribadi, Jaafar Haalid yang dibawa ke Mahkamah Tinggi George Town hari ini. Mohamad Amirul Amin hadir di mahkamah itu untuk memberi keterangan dalam kes saman yang difailkannya terhadap Jaafar dan syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd berhubung insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu tiga tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer yang cedera dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini tiga tahun lepas, mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), kata pakar psikiatri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Konsultan Psikiatri Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Zasmani Shafee berkata beliau mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Mohamad Amirul Amin setelah membuat pemeriksaan dan menjalankan rawatan ke atas jurukamera itu pada Oktober tahun lalu.

"Amirul telah mendapatkan pemeriksaan rawatan sebanyak dua kali pada 12 dan 26 Oktober 2018. Untuk kali pertama dua sesi dan pada 26 Oktober juga saya melakukan penilaian dan pemeriksaan terhadapnya juga dalam dua sesi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam kes saman yang difailkan Mohamad Amirul Amin terhadap seorang pengawal peribadi, Jaafar Haalid sebagai defendan pertama dan syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd sebagai defendan kedua berhubung insiden tembakan pada 1 Disember 2016 itu.

Dr Zasmani yang merupakan saksi pertama plaintif itu berkata masalah PTSD yang dialami jurukamera itu dikesannya selepas Mohamad Amirul Amin datang mendapatkan rawatan, dengan turut mengemukakan empat laporan perubatan berkaitan kecederaan di bahu kirinya akibat tembakan tersebut.

"Dalam sesi rawatan psikiatri, Amirul turut memaklumkan bahawa beliau mengalami trauma, sukar tidur malam, insomnia dan mengalami tekanan yang hebat selepas cedera dalam kejadian tembakan itu dan apa yang dirasainya itu adalah benar dengan beliau mengalami tahap insomnia yang agak tinggi," katanya.

Beliau berkata hasil diagnosis rawatan menunjukkan plaintif mengalami PTSD selepas kejadian berkenaan di mana jurukamera itu sering mengalami rasa gangguan berhubung kejadian tembak terbabit.

Menurutnya plaintif juga sering mengalami rasa cemas, berdebar-debar dan trauma pada bunyi bising dan simptom berkenaan berterusan sejak beberapa tahun dan turut menjejaskan tumpuannya setelah kembali bekerja empat bulan selepas insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Amirul Amin memfailkan saman itu pada 1 Jun 2018 dengan mendakwa beliau telah ditembak oleh defendan pertama ketika beliau mendekati seorang individu yang disangka mangsa kemalangan jalan raya berikutan badannya berlumuran darah dan duduk di atas jalan raya.

Dalam tuntutannya, beliau berkata defendan pertama telah menggunakan senjata api pistol jenis “Glock” dan menembak majikannya hingga mati. Defendan pertama turut melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua individu lagi meninggal dunia manakala empat lagi cedera parah.

Mohamad Amirul Amin menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am agi bagi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi teruk dan lain-lain relief dan/atau perintah yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau diwakili peguam Simon Murali manakala GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd diwakili peguam Mohamad Nor Azam Rashid dan Samry Masri.

Jaafar yang kini dalam tahanan di Penjara Pulau Pinang kerana menghadapi sembilan pertuduhan jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah-mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, tidak diwakili peguam dalam prosiding hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!