Maszlee jelas isu kos yuran tadika, taska swasta tinggi

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan isu mengenai kos yuran tadika dan taska swasta yang tinggi seperti yang bangkitkan Cikgu Fadli Salleh telah diambil perhatian oleh Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) pada 2019 dan sepatutnya di bawa ke kabinet setahun selepas itu.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak sempat terlaksana kerana beliau telah diarahkan menyerahkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rentetan daripada itu katanya, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan ketika itu kerana berlakunya pertukaran kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’.

“Sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan yang waktu itu, beliau (Dr Mahathir) tidak sempat membawa laporan JKDPN ke kabinet yang beliau sendiri pengerusikan, dan dua bulan berikutnya, berlaku pertukaran kerajaan melalui Langkah Sheraton.

“Segalanya terkubur apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan melalui Menteri pada waktu itu enggan meneruskan syor-syor JKDPN dan membakul sampahkan laporan berkenaan.

“Melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen yang saya pengerusikan juga saya telah bawakan isu ini kepada KPM. Malangnya menteri enggan hadir dan KPM tidak mengambil endah laporan JKDPN juga,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambah bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, beliau kini sedang berusaha mengatur pertemuan antara guru-guru dan pakar pendidikan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk membincangkan reformasi pendidikan negara.

“Insya-ALLAH saya juga sedang berusaha mengaturkan pertemuan Menteri Pendidikan dengan Cikgu Fadli serta rakan-rakan guru dan pakar pendidikan lain dari semasa ke semasa, di atas kapasiti saya sebagai mantan Menteri Pendidikan yang menganggur.

Artikel Berkaitan:

“Teruskan memberi pandangan dan lontaran idea mengenai pendidikan dan usaha reformasi pendidikan,” katanya.

Ujarnya, beliau juga akan terus bersama warga pendidikan dan ibu bapa untuk terus menyampaikan suara hati mereka kepada Menteri Pendidikan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!