Sepak mula Liga Super 24 Februari 2023

Stuart. Foto Agensi
Stuart. Foto Agensi
A
A
A

PASUKAN Liga Super mempunyai tempoh kurang dua bulan untuk menyiapkan pasukan menjelang sepak mula yang dijadualkan pada 24 Februari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, jadual perlawanan Liga Super musim depan sudah siap dan hanya menunggu maklum balas daripada pemegang taruh dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, penyusunan jadual Liga Super dibuat dengan lebih teliti kerana perlu mengambil kira perlawanan Liga Simpanan (Reserve League) untuk memberi ruang dan peluang pasukan melakukan transisi pemain masing-masing.

"Aksi Liga Super pada musim depan akan bermula 24 Februari dan ketika ini pemantauan kalendar dilakukan kerana ia juga membabitkan saingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Jadual sudah pun siap cuma tunggu maklum balas daripada pemegang taruh dan AFC serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Menurut Stuart, penyediaan jadual tersebut turut mengambil kira persiapan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang akan mengharungi jadual yang padat musim depan.

"Pada musim 2023 terdapat empat perlawanan membabitkan skuad B-23 negara sekali gus memerlukan penyusunan jadual secara teliti," katanya.

Skuad kendalian E Elavarasan itu akan mengharungi jadual padat pada musim 2023 apabila akan menyertai sekurang-kurangnya empat kejohanan peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan kejuaraan AFF B-23 2023, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Susulan itu, Elavarasan membuat persiapan awal dengan memanggil 25 pemain ke kem latihan pusat pertama bermula 27 November hingga 6 Disember lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Stuart berkata, keputusan sama ada saingan Liga Super musim 2023 akan disertai 16 pasukan atau sebaliknya akan diketahui Januari depan berdasarkan dokumentasi dan pengesahan penyertaan daripada PJ City dan UiTM FC.

"PJ City dan UiTM PC meminta penangguhan pengesahan penyertaan hingga penghujung bulan ini bagi menyelesaikan beberapa perkara termasuk berkaitan dokumentasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!