Mangsa banjir menurun kepada 704 orang
SHAH ALAM - Situasi banjir di seluruh negara semakin baik dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun daripada 705 pada jam 8 pagi, kepada 704 orang pada jam empat petang Khamis.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kuala Lumpur menjadi negeri terbaru dilanda banjir, melibatkan lima mangsa.
Kesemua mangsa daripada satu keluarga itu mula berpindah ke PPS sejak tengah hari Khamis.
Sementara di Sabah, jumlah mangsa mula menurun daripada 652 ke 646 orang melibatkan 112 keluarga di Sandakan.
Pada masa sama, di Terengganu, jumlah mangsa banjir masih kekal iaitu 53 orang daripada 12 keluarga.
Pada Rabu, kesemua PPS di Kelantan yang menempatkan mangsa banjir ditutup sepenuhnya dengan PPS terakhir Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buluh, Pasir Mas ditutup pada jam 5.30 petang Rabu.
Selepas 12 hari beberapa jajahan di negeri itu dilanda banjir sehingga mencecah 31,000 mangsa, Pasir Mas menjadi jajahan terakhir yang menutup PPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!