Tanah runtuh: Sultan Selangor hargai tugas cemerlang anggota bomba
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertindak cemerlang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.
Menerusi kemas kini di Facebook Selangor Royal Office, baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis di Istana Bukit Kayangan.
Menurut kenyataan itu, baginda sentiasa mengikuti laporan harian operasi SAR tersebut dan kagum dengan kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan pasukan penyelamat walaupun berdepan pelbagai cabaran.
"Baginda juga dapat saksikan koordinasi yang baik di antara JBPM Selangor bersama agensi-agensi lain.
" Baginda amat berbangga dan menghargai usaha serta kesungguhan para anggota penyelamat dalam misi ini sehingga membolehkan operasi SAR ditamatkan dengan jayanya," katanya kenyataan itu pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, baginda berharap anggota JBPM terus komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan demi kesejahteraan rakyat di Selangor.
Dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali, 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 mangsa yang lain terselamat.
Mangsa terakhir, Eng Shao Qi, merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui dalam 'sleeping bag' pada hari kesembilan operasi SAR, Sabtu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!