PATI masuk ikut Sungai Golok, naik bas pergi KL
KUALA LUMPUR - Pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Sungai Golok, Kelantan dibongkar dalam serbuan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur di sini, pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada jam 5.20 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia dengan membawa penangkapan enam PATI.
Menurutnya, operasi khas itu bertindak susulan maklumat awam mengenai sekumpulan PATI yang akan dihantar ke ibu negara selepas dipercayai menceroboh masuk melalui laluan haram di Sungai Golok, Kelantan.
"Pasukan operasi kemudian berjaya mengesan bas yang membawa PATI di Lebuhraya Pantai Timur sebelum diekori sehingga ke TBS.
"Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang dua bas secara berasingan sebelum menahan menahan lima lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semakan mendapati PATI itu memiliki cop keluar negara jiran dan cop masuk Malaysia yang disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, PATI terbabit juga didapati memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.
Tambah Khairul Dzaimee, sindiket dipercayai mengubah modus operandi dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.
"Jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan. Seterusnya mereka mereka akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur," jelasnya.
Ujarnya, imigresen percaya PATI ini membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen sindiket di negara asal untuk urusan pakej kemasukan.
Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!