[VIDEO] Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding bagi memenuhi hasrat akar umbi yang mahu kepimpinan kini meneruskan perjuangan parti itu.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata, perkara itu dikuatkan lagi dengan kewujudan 'cakap-cakap' yang menyatakan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 adalah kerana presidennya.

"Kalau tidak dipertanding, kekalkan presiden atau timbalan presidennya seperti sekarang maka tekanan-tekanan berterusan supaya presiden, timbalan presiden turun berundur menyebabkan UMNO tidak akan pulih, sentiasa berada di situ (tidak stabil).

"Jadi kalaulah dipertanding dan presiden serta timbalan presiden dapat pertahankan jawatan maka ini membuktikan bahawa akar umbi UMNO mahu kepimpinan sekarang (menerajui parti)," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Justeru menerusi padangan peribadi beliau, seharusnya kedua-dua jawatan itu dipertanding supaya tiada lagi tekanan kepada presiden dan timbalan dalam menjalankan tugas.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, jawatan itu wajar dipertanding bagi memelihara proses demokrasi yang selaras dengan Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, keabsahan penyandang jawatan itu akan mengikat pihak yang cuba menyoal legitimasi kepimpinan individu terbabit.

"Ini boleh menjadi mesej kepada ahli dan mereka yang di luar parti bahawa untuk bergerak ke hadapan, mereka perlu mengadaptasi suasana politik mutakhir.

"Kalaupun ada yang menyoal, ia akan membawa perpecahan dan solidariti, parti perlu menanganinya dengan baik supaya golongan muda serta pengundi melihat tiada sekatan dalam parti. Ia akan menampakkan integriti politik dipertahan dan parti bergerak ke arah yang betul," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sivamurugan berkata, perwakilan UMNO boleh memutuskan sebaliknya namun realiti politik kini sehingga Kerajaan Perpaduan terbentuk adalah penting untuk parti itu membuat perubahan dan pembaharuan.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, jawatan itu perlu dipertanding supaya (kebimbangan mengenai) salah guna kuasa oleh kepimpinan parti dapat dikurangkan ke tahap minimum.

"Ia juga bantu menggalakkan peluang terbuka buat bakat baharu dan generasi muda memegang tampuk kepimpinan," katanya.

Pada Julai lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan permohonan berkaitan pindaan Perlembangaan parti itu supaya pemilihan di semua peringkat diadakan tidak lebih enam bulan selepas PRU diadakan.

Jawatan Presiden UMNO kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) manakala Timbalan Presiden parti itu disandang oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang merupakan Timbalan Pengerusi BN.

Tiga lagi jawatan utama parti yang digelar top five iaitu Naib Presiden dan kini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain Ahli Majlis Tertinggi, turut dipertanding. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!