Wira Batang Kali meninggal dunia akibat serangan jantung
SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kehilangan seorang pegawai berdedikasi tinggi apabila Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Abd Aziz Usoff meninggal dunia pada Rabu.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, Abd Aziz merupakan salah seorang anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini.
Menurutnya, Allahyarham yang berusia 49 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira jam 7.55 pagi.
"Beliau seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan komited terhadap tugas serta tanggungjawab terutama ketika melakukan operasi kebombaan.
"Malah, beliau antara yang terawal tiba di lokasi kejadian Batang Kali bagi membantu operasi penyelamatan walaupun tragedi berkenaan bukan berada di bawah kawasan jagaan beliau," katanya pada Khamis.
Norazam berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Siti Mardhiah Nayan@Ahmad serta empat cahaya mata lelaki.
Katanya, Allahyarham yang yang berasal dari Kampung Banggol Penyegat, Karangan, Kulim di Kedah sudah berkhidmat dengan pasukan JBPM selama 15 tahun.
"Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al Ittihad, Sungai Kob, Karangan, Kulim, Kedah, jam 9.30 malam semalam," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!